Latarbelakang Lembaga Rayuan Negeri Melaka
Lembaga Rayuan Negeri Melaka wujud berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 36, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 Akta 172, (Pindaan) A933, ( Pindaan) A1129, dan kaedah-kaedah Lembaga Rayuan (Negeri Melaka) 2004. Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 36(2) Akta 172, Pihak Berkuasa Negeri Melaka dengan persetujuan Menteri telah melantik Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli-Ahli Lembaga Rayuan Negeri Melaka.
Fungsi Lembaga Rayuan
Lembaga Rayuan berfungsi untuk memberikan peluang kepada seseorang untuk mengemukakan rayuan sekiranya terkilan atau tidak berpuas hati dengan keputusan Kebenaran Merancang yang diberi oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) untuk dipertimbangkan semula keputusan tersebut kepada Lembaga Rayuan, dimana;
|
·
|
Lembaga Rayuan sebagai satu badan berkecuali (independent body) yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi menyelesaikan pertikaian di antara perayu dengan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) khususnya yang terlibat dengan keputusan Kebenaran Merancang samada perayu tersebut sebagai pembantah, pemohon, pemilik atau pengguna yang merasa terkilan.
|
|
·
|
Lembaga Rayuan sebagai suatu tribunal yang bertanggungjawab mendengar, mempertimbang dan membuat keputusan terhadap kes-kes yang dinyatakan di bawah Akta 172 dan Akta (Pindaan) A933, (Pindaan) A1129 Akta Perancangan Bandar dan Desa.
|
Tempoh Memfailkan Rayuan
Sesuatu rayuan boleh dibuat kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian keputusan atau Perintah kepada pemohon oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT).
Jenis-Jenis Rayuan Yang Boleh Dirayu:
1. Rayuan Terhadap Kebenaran Merancang
[Seksyen 23 (1)(a) & (b)] (Borang A Jadual II) - Akta 172 Rayuan boleh dilakukan sekiranya berlaku rasa tidak puas hati atau terkilan dengan keengganan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) untuk memberi Kebenaran Merancang, atau syarat-syarat yang dikenakan dalam sesuatu Kebenaran Merancang.
Rayuan oleh pemilik tanah berjiran yang telah membantah di bawah seksyen 21(6) berhubung permohonan untuk Kebenaran Merancang.
2. Amaun Pampasan
[Seksyen 25(9)] (Borang B Jadual II) - Akta 172
Jika seseorang terkilan dengan amaun sesuatu pembayaran balik atau pampasan yang ditawarkan atau dibayar kepadanya, ia boleh merayu kepada Lembaga Rayuan untuk menaksir semula amaun tersebut.
3. Notis Permintaan
[Seksyen 30(2)] (Borang C Jadual II) - Akta 172
Bagi seseorang yang terkilan dengan sesuatu notis permintaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT);
i. Meminta supaya dihentikan penggunaan itu; atau
ii. Mengenakan apa-apa syarat bagi penggunaan tanah itu yang berterusan sebagaimana yang dinyatakan dalam notis permintaan itu; atau
iii. Meminta supaya langkah-langkah yang dinyatakan dalam notis permintaan itu diambil untuk mengubah atau memindahkan bangunan atau kerja itu;
4. Pampasan Notis Permintaan
[Seksyen 30(7)] (Borang B Jadual II) - Akta 172
Sekiranya seseorang tidak berpuashati dengan jumlah amaun pampasan yang telah diberikan kepadanya daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT); berbanding dengan jumlah kerosakan atau menyebabkan susut nilai ke atas tanah, ia boleh merayu untuk menimbangkannya semula.
5. Perintah Pemeliharaan Pokok
[Seksyen 35C] (Borang D Jadual II) - Akta A933 (Pindaan)
Sekiranya seseorang tidak berpuas hati dengan;
(a) Suatu Perintah Pemeliharaan Pokok;
(b) Mana-mana peruntukan dalam suatu Perintah Pemeliharaan Pokok;
(c) (i) Penolakan pemberian kebenaran bertulis; atau
(c) (ii) Mana-mana syarat yang dikenakan ke atas pemberian suatu kebenran bertulis; di bawah perenggan (a)seksyen 35A(2); atau
(d) Suatu perintah untuk menanam atau menggantikan pokok di bawah perenggan (b) seksyen 35A(2); boleh merayu kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh satu bulan daripada tarikh Perintah Pemeliharaan Pokok dikeluarkan.
6. Pampasan Perintah Pemeliharaan Pokok
[Seksyen 35D] (Borang B Jadual II) - Akta A933 (Pindaan)
Peruntukan bagi membuat tuntutan pampasan kepada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) daripada seseorang yang telah membuktikan bahawa pihaknya mengalami kerugian dan berlakunya susut nilai ke atas tanahnya akibat daripada mematuhi seksyen 35C (a) hingga (d).
7. Penggantian Pokok
[Seksyen 35E] (Borang E Jadual II) - Akta A933 (Pindaan)
Sekiranya perintah untuk penggantian pokok telah dikeluarkan kepada seseorang yang didapati bersalah kerana menebang pokok yang mempunyai Perintah Pemeliharaan Pokok; jika timbul rasa terkilan dengan arahan, orang tersebut boleh merayu untuk mengenepikan arahan atau melanjutkan tempoh penggantian penanaman semula pokok.