Ayer Keroh, Melaka, 17 April 2026 – Satu langkah penting ke arah perancangan masa hadapan Negeri Melaka telah dimulakan menerusi Majlis Kick-Off bagi Kajian Rancangan Struktur Negeri Melaka 2040 (Kajian Semula) yang telah diadakan di Menara Persekutuan MITC, Ayer Keroh, Melaka. Majlis ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Noraida binti Abdul Rani, Pengarah Pejabat Projek Zon Selatan PLANMalaysia mewakilipengurusan tertinggi PLANMalaysia.
Kajian ini merupakan inisiatif strategik yang diterajui oleh PLANMalaysia dengan kerjasama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Melaka (PLANMalaysia Melaka), Pejabat Projek Zon Selatan, PLANMalaysia dengan bantuan khidmat pakar runding dari Iktisas Planners Sdn Bhd yang telah dilantik bagi merangka hala tuju pembangunan negeri yang lebih dinamik, berdaya tahan dan mampan sehingga tahun 2040.
Tempoh kajian ini akan dilaksanakan dalam tempoh setahun bermula 16 April 2026 hingga 16 April 2027, melibatkan pengumpulan data, analisis menyeluruh serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan perancangan yang inklusif dan bersepadu.
Majlis ini turut dihadiri oleh TPr. Abdulhan Bin Abd Lamit, Pengarah PLANMalaysia Melaka, En. Mohd. Khaizal bin Ma'arip, Pengurus Projek Kajian RSN Melaka 2040; En. Mohd. Syukri bin Yahya, Timbalan Pengarah PLANMalaysia Melaka, En Mohd Nazri Bin Sahat, wakil BMGN, TPr. Juwairiyah Ho Binti Abdullah, Ketua Perunding Iktisas Planners Sdn. Bhd. bersama barisan pasukan perunding serta wakil-wakil dari PBT/ Jabatan/ Agensi.
Di dalam Majlis Kick Off ini juga terdapat tiga (3) kertas taklimat berkaitan Taklimat Pengurusan Kajian oleh Pengurus Projek, Taklimat Pengenalan Kajian oleh Ketua Perunding dan Taklimat Pengurusan Data Geospatial oleh BMGN, PLANMalaysia.
Pihak jabatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas komitmen dan kerjasama yang padu dalam menjayakan majlis ini. Besarlah harapan agar Kajian RSN Melaka 2040 (Kajian Semula) ini akan menjadi pemangkin utama dalam membentuk perancangan yang progresif serta memacu pembangunan Negeri Melaka ke arah masa hadapan yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing menjelang tahun 2040.